IPOH: Penempatan di Kampong Pawong, Simpang Pulai dekat sini, yang berlaku pergerakan tanah petang semalam, terletak hanya 10 meter dari tebing sungai.

Pengarah Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Perak, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, pemerhatian tapak rekahan menunjukkan ia adalah tanah yang ditambak, bukannya tanah asal.

Menurut beliau, ketinggian tebing sungai itu lebih kurang 60 meter dengan gradien 45-60 darjah kecerunan.

“Disimpulkan lokasi rekahan ke tebing sungai hanya 10 meter dan ketinggian tebing lebih kurang 60m serta hujan yang amat lebat membolehkan hakisan tanah/erosion terjadi dan menghasilkan rekahan tanah selari dengan jajaran aliran sungai,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Beliau mengulas kejadian pergerakan tanah di kampung itu, kira-kira jam 3 petang semalam.

Penempatan di kampung tersebut yang terletak 14 kilometer dari Simpang Pulai melalui jalan ke Cameron Highlands dikatakan dibuka sekitar tahun 2008 dan mempunyai 15 buah rumah serta sebuah surau.

Ir Ahmad Zukni, berlaku rekahan sepanjang 50 meter yang selari jajaran sungai dengan lebar mencapai 1.2 meter dan kedalaman 1.5 meter

Beliau memberitahu, sebanyak tiga buah rumah paling terkesan dengan rekahan itu.

Bagaimanapun, ujarnya, setelah berbincang dengan pihak bomba dan penyelamat, semua enam buah rumah dalam satu deretan perlu dikosongkan dan penghuni berpindah ke rumah-rumah berhampiran yang lebih selamat.