IPOH 7 Mei – Syarikat penerbangan carter, Scanda Sky hari ini menandatangani kontrak perjanjian dengan Malaysia Airlines Bhd. (MAB) bagi penerbangan Kuala Lumpur-Ipoh-Guangzhou menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) mulai Oktober ini.

Majlis menandatangani kontrak perjanjian itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Scanda Sky, Tengku Faizwa Tengku Razif manakala MAB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Amal oleh Malaysia Airlines, Hazman Hilmi Sallahuddin.

Majlis berkenaan turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing.

Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha membawa destinasi penerbangan baharu ke LTSAS yang dilihat akan merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Malah katanya, usaha juga sentiasa dijalankan bagi mendapatkan lebih banyak penerbangan terus ke Ipoh sama ada domestik mahu pun antarabangsa untuk merealisasikan impian menjadikan bandar ini sebagai hub pelancongan dan pintu masuk utama ke Perak.

“Usaha yang dilakukan ini telah membuahkan hasil apabila statistik LTSAS menunjukkan peningkatan trafik penumpang sebanyak 315,673 orang pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya iaitu 273,086 orang.

“Oleh itu, melalui kerjasama terbaharu ini, dijangka ia akan berjaya menarik kehadiran pelancong dari selatan China untuk menjadikan bandar Ipoh sebagai pintu masuk utama mereka ke negara ini,” katanya pada majlis tersebut yang diadakan di Weil Hotel di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE