IPOH – Penerbangan semula laluan Medan-Ipoh yang berkuatkuasa hari ini menyaksikan beberapa penambahbaikkan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negeri Perak.

 

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi, sektor pelancongan perubatan antara pakej yang relevan untuk pesakit dari Medan mendapatkan rawatan di pusat perubatan sekitar Ipoh.

 

 

“Kali ini juga pihak kerajaan negeri bukan sekadar menerima kedatangan para pelancong ini tetapi juga mengambil kesempatan dari segi padanan dengan pemain industri tempatan.

 

 

“Ia akan disertai oleh barisan hospital-hospital kita yang menerima pelancong kesihatan dan pemilik produk bagi penerbangan Medan-Ipoh  dan untuk memastikan lebih ramai pelancong dari negara Indonesia,”kata Nolee.

 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sambutan “Inaugural Flight’ Malindo Air Medan-Ipoh di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

 

 

Sebelum ini Penerbangan Medan-Ipoh yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang murah, Malindo Air dihentikan pada tahun 2015 atas faktor hari dan waktu penerbangan yang kurang sesuai.

 

 

Dalam pada itu beliau menyeru syarikat swasta dan agensi berkaitan untuk lebih kreatif dan kompetetif dalam menarik pengunjung ke negeri ini.

 

 

“Kerajaan negeri sudah tentu akan berikan sokongan, kita tidak mahu laluan penerbangan ini buka, tutup, buka tutup jadi kita ambil pelbagai langkah dengan memanggil pihak berkaitan untuk bantu.

 

 

“Saya perlukan sektor swasta untuk memainkan peranan supaya pakej yang ditawarkan lebih menarik daripada apa yang ada di negeri lain,”katanya.