SHAH ALAM – Bekas penerbit sambilan sebuah rancangan stesen televisyen (TV) swasta mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini semalam atas tiga pertuduhan mencabul seorang wanita dan melakukan jenayah samun pada Ogos dan Oktober lalu.

Tertuduh, Mohammad Ferdaus Mashud, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret P. Sarulatha dan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada mang­sa yang berusia 44 tahun dengan mencabul kehormatannya di sebuah surau di Seksyen U8 di sini pukul 1.40 petang, 6 Oktober lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Anis Suraya Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 12 Disember depan untuk sebutan semula kes.

-Kosm0! Online