KUALA KANGSAR: Penerima Anugerah Ibu Mithali ke 7, Kamariah Alang Mat Nasid, 92, meninggal dunia di sini pagi ini.

Berita sedih itu dikongsi Timbalan Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak yang juga Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Kangsar, Ahmad Shah Mohamad Salleh dalam posting di laman Facebook miliknya hari ini.

Ahmad Shah yang juga Exco Majlis Belia Malaysia (MBM), di dalam posting itu turut memberitahu, jenazah Allahyarhamah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg Lalang, Padang Rengas.

Allahyarhamah adalah penerima Anugerah Ibu Mithali ke 7 Peringkat Kebangsaan pada tahun 1999 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Allahyarhamah adalah ibu kepada 13 anak, 7 lelaki dan 6 perempuan, termasuk bekas Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Khairuddin Arshad.