BATU GAJAH: Ketika ramai di antara penganut yang beragama Hindu membuat persiapan menyambut hari Deepavali atau pesta cahaya, ada di kalangan mereka hanya mampu meraikannya dengan ala kadar sahaja.

Prihatin dengan situasi itu, Jawatankuasa Kuil Sri Veera Muneeswarar di Gunung Hijau, Pusing dekat sini tampil untuk meyalurkan barangan keperluan dapur kepada hampir 40 orang penerima.

Mereka yang dipilih merupakan golongan is rumah berpendapatan rendah (B40) dan ada di antara mereka yang hilang punca pendapatan atas faktor tertentu.

Menurut Pengerusi Kuil, K.Damodarin, sumbangan itu merupakan hadiah untuk penerima yang kurang bernasib baik meraikan hari Deepavali yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ujarnya, program seumpama ini pertama kali dianjurkan dan akan diperluaskan di tahun hadapan.

“Tiap-tiap kami rancang untuk laksanakan sumbangan sebegini, kami pilih mereka yang betul-betul memerlukan dan beri barangan dapur seperti minyak, beras, dan bahan untuk mereka buat muruku sempena Deepavali.

“Ramai dari mereka buruh, suri rumah, kami juga sampaikan duit raya untuk gembirakan mereka, dapat juga beli apa yang patut untuk Deepavali nanti,”katanya lagi.

Dia berkata demikian selepas menyampaikan bantuan barangan dapur kepada penerima di sini pada Ahad.

Sementara itu, suri rumah,P. Gunasundri, 42, ketika ditemui berkata bantuan ini dapat meringankan beban perbelanjaan sempena Deepavali, di samping memeriahkan lagi suasana sambutan hari tersebut.

“Baru tahun ini dapat bantuan, mereka datang rumah dan bagi kupon maklumkan datang hari ini. Setakat ini belum ada persiapan, dah dapat barang dapur ni baru nak buat muruku.

“Terima kasih untuk pihak yang bantu kami, rasa seronok sangat sebab diraikan hari ini, kami sekeluarga rasa semangat nak sambut Deepavali,”katanya.

Seorang lagi penerima,T. Viknesvaran,43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut menzahirkan kegembiraannya hari ini.

“Gaji bulanan saya kira-kira RM 900 untuk sara tiga orang anak yang masih belajar, sumbangan yang kami terima hari ini saya anggap sebagai hadiah yang bermakna.

“Mungkin di masa-masa akan datang, mereka boleh pertimbangkan untuk sumbangkan pakaian, apa pun terima kasih pada pihak yang berkenaan untuk sumbangan ini,”ujarnya.