TOKYO: Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kerajaan akan memberi bantuan khas RM300 seorang kepada 112,635 peneroka FELDA sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Perdana Menteri berkata, bantuan berjumlah RM34 juta itu disalurkan selepas kerajaan mengambil kira beban kewangan ditanggung golongan sasar, berikutan perlu menunggu untuk pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.

“Ya, kita akan beri. Kita sedia berkorban untuk mereka (peneroka) tetapi mereka juga mesti bekerja keras dan tidak sepatutnya mengambil buah sawit dari pokok yang bukan mereka tanam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada akhir lawatan kerja tiga hari ke Jepun di Hotel Imperial di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan.

Semalam, sepucuk surat rasmi kerajaan menampilkan tanda tangan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman, tersebar di media sosial, berhubung bayaran bantuan khas Aidilfitri.

Surat bertarikh 30 Mei 2019 itu ditujukan kepada Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar, antara lain menyebut Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu memutuskan untuk memberi bantuan berkenaan.

Pada masa yang sama, surat itu turut meminta FELDA membayar tunggakan Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (SH & PH) kepada peneroka terbabit sebelum Aidilfitri.

Perdana Menteri turut mengingatkan peneroka FELDA supaya tidak menjual buah sawit kepada peraih tidak diiktiraf hanya untuk mengaut keuntungan lebih.

“Ketika tanam semula, hampir lapan tahun peneroka tiada pendapatan dan kerajaan beri elaun yang dianggap pinjaman.

“Bila pokok berbuah, kita mengharapkan buah kelapa sawit dihantar ke kilang yang diiktiraf kerajaan tetapi ada yang hantar ke kilang lain manakala duitnya mereka ambil.

“Itu salah dan tak patut dibuat. Mereka (peneroka) tak keluarkan satu pun ketika tanam semula, malah kerajaan kasi (beri) elaun kerana tahu mereka tiada punca pendapatan,” katanya – Berita harian