KUALA LUMPUR: Mohamed Azmin Ali hari ini menolak dakwaan beliau mendapat sorakan ejekan ketika berucap di depan ribuan peneroka Felda dalam sebuah majlis yang dihadirinya bersama Dr Mahathir Mohamad di Pahang semalam.

Menteri hal ehwal ekonomi itu mengakui berlaku kekecohan, tetapi ia tiada kaitan dengan ucapannya dan bukan menyasarkannya.

“Tak ada. Saya di sana berucap panjang, ada sedikit gangguan semalam, tapi bukan terhadap saya. Saya rasa ada sedikit kekecohan di belakang, tapi kami tak tahu mengenainya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Artikel Berkaitan – Azmin diejek semasa berucap di Felda Pahang 

Klip video insiden itu yang turut dikongsi di media sosial menunjukkan ucapan Azmin ditenggelamkan sorakan “boo” hadirin sempena sambutan Hari Peneroka 2019 peringkat kebangsaan di Felda Selancar 3, di Rompin.

Azmin berucap mengenai usaha kerajaan baru dalam memulihkan Felda susulan dakwaan salah guna dana dan pengurusan ketika beliau diejek hadirin.

Hari ini, Azmin menyifatkan warga Felda memberi sambutan sangat baik untuk program yang pertama kali dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan itu.

“Ia disambut dengan sangat baik, mereka sanggup datang dari Sabah, Perlis, seluruh negara untuk sambut PM dan inisiatif baru yang dimasukkan dalam kertas putih menggambarkan sokongan peneroka Felda kepada model baru ini.”

Mengenai kenyataan Pemuda PKR yang itu ialah situasi biasa apabila PH di “wilayah musuh”, Azmin bagimanapun enggan menyalahkan kekecohan itu dicetuskan pembangkang.

“Tidak, menteri besar (Pahang) ada di sana, exco negeri semua ada. Kita ada kerjasama yang baik, sebelum perdana menteri ke Pahang, saya terima surat dari menteri besar Pahang untuk bincang tentang projek di Pahang.

Peneroka Felda malas?

Azmin berkata, dakwaan peneroka malas memajukan tanah Felda dan mengharapkan sepenuhnya bantuan kerajaan sekadar pandangan peribadi Chef Wan.

“Itu mungkin pandangan peribadi dia sebagai anak Felda, tapi di pihak kerajaan, kita yakin peneroka ada potensi besar, khususnya generasi baru Felda dengan syarat mereka diberi dokongan dan sokongan untuk menjayakan inisiatif ini.

“Sebagai kerajaan, kita telah mengemukakan satu dasar baru, model baru (kepada warga Felda).”

Semalam, Mahathir ketika berucap dalam sambutan Hari Peneroka 2019 peringkat kebangsaan di Pahang berekata, kerajaan akan mencantumkan tanah Felda menjadi sebuah estet besar untuk menjana pendapatan lebih baik bagi peneroka.

Beliau percaya pertanian yang diuruskan dalam skala besar mampu memberi keuntungan kepada peneroka Felda.

-FMT