SUNGKAI – Barisan Nasional (BN) Perak yakin sokongan para peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di negeri ini tetap utuh dan teguh terhadap kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14).

 

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dari segi pengamatannya yang sering mendampingi golongan berkenaan telah menerima reaksi serta maklum balas yang amat positif terhadap kerajaan pimpinan BN.

313664d7-408c-49a7-99bb-7f4c4c328516 

“Saya tidak pernah melihat mereka (peneroka FELDA) seolah-olah diasingkan oleh kerajaan seperti mana yang digambarkan oleh pihak pembangkang.

 

“Sebaliknya mereka sedar dan hargai usaha kerajaan BN yang sentiasa bersama mereka serta menjaga kepentingan mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian 115 geran tanah kepada peneroka Felda Besout 2, di sini pada Isnin.

 

Tambah beliau, komitmen kerajaan negeri yang sentiasa turun padang berjumpa dengan golongan berkenaan juga telah membuahkan hasil dan merupakan antara faktor hubungan akrab peneroka serta kerajaan negeri berada dalam keaadan teguh.

 

“Reaksi mereka amat baik terhadap kita kerana hubungan yang terjalin daripada program-program yang disusun oleh kerajaan negeri.

 

“Walaupun ada pihak tertentu sekali sekala datang masuk ke Felda-feda untuk membakar semangat kebencian dikalangan peneroka kita namun akhirnya saya yakin masyrakat Felda tahu sumbangan serta jasa kerajaan kepada mereka,” ujarnya.

 

Sementara itu, perkara yang dibangkitkan oleh Dr Zambry itu juga turut disokong oleh beberapa peneroka felda yang ditemui dalam majlis itu.

 

Ahmad Aduan Ibrahim,55,berkata, beliau tidak dapat membayangkan bagaimana seorang peneroka Felda yang banyak menerima bantuan daripada kerajaan sanggup berpaling tadah.

 

“Kami tidak akan sesekali beralih alih kerana kita tahu jasa kerajaan kepada kita, walaupun banyak pihak memang ada mengatakan macam-macam namun sebagai tuan badan yang menerima bantuan, kami tahu mana baik atau buruk.

 

“Jika memang ada peneroka yang menyokong pihak pembangkang, bagi saya itu adalah golongan yang tidak bersyukur dan lupa daratan, sanggup mereka buat demikian selepas apa yang telah dilakukan oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui.

 

Bagi Abdul Kahar Asmawi, 66, pula, jasa kerajaan kepada golongan peneroka tidak akan pernah dilupakan dan golongan itu mempunyai “hutang” yang amat besar kepada BN.

 

“Tidak patut kalau kita sokong pembangkang dan lawan kerajaan yang selama ini membantu kita..kalau tanya saya, sokongan saya memang sentiasa akan berpihak kepada BN,” ujarnya ringkas.

Click here to Reply or Forward