PENGKALAN HULU: Peneroka FELDA yang telah mendapat hak milik tanah masing-masing diingatkan supaya jangan menjual tanah mereka sewenang-wenangnya.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka mesti mempertahankan hak milik itu demi kesinambungan hidup anak cucu mereka.

Menurut beliau, peneroka perlu sedar bahawa kehidupan mereka ketika mula-mula memasuki tanah rancangan berkelompok itu bukannya senang dan dengan usaha bersungguh-sungguh, mereka dapat menyambung kehidupan di tanah rancangan FELDA.

“Alhamdulillah, kerajaan sedia sekolah di kawasan ini, anak-anak boleh mampu ke sekolah, jadi apabila dapat geran tanah tu, kita kena jaga tanah kita ni, janganlah kita jual ataupun tukar hak milik sewenang-wenangnya.

“Ianya perlu kita wariskan atau pertahankan bersungguh-sungguh, jadi saya harap mereka faham tentang keadaan ini, betapa susahkan daripada tahun 89, hari ni dapat geran, kemudian esok pula nak jual, janganlah, jangan buat kerja bukan-bukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan hak milik kepada 140 peneroka FELDA Nenering 1 di Dewan Semai Bakti, FELDA Nenering 1, dekat sini, hari ini.

Kalau ada masalah, kita cari jalan, banyak lain, bukan semestinya dengan menggadai ataupun menjual tanah. Tanah ni kita kena jaga dengan sebaik yang boleh.

Terdahulu, Pengarah Pengurusan Tanah FELDA, Erwan Aman memberitahu, setakat ini 5,772 atau 97.55 daripada 5,917 peneroka di Perak telah menerima hak milik masing-masing.

Menurut bakinya masih dalam proses kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) iaitu di FELDA Gunung Besout 3 yang melibatkan 61 peneroka, FELDA Trolak Timur (42) dan FELDA Trolak Selatan (23).

“FELDA dengan kerjasama dan bantuan negeri Perak akan terus memberikan komitmen penuh dalam usaha mempercepatkan pemberian hak milik kepada peneroka,” katanya di dalam ucapannya.