IPOH: Kerja-kerja membaiki struktur tanah di kawasan tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) dan kerajaan negeri berhampiran Bukit Kledang yang diteroka secara haram, akan bermula dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, pihak Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak telah mengarahkan peneroka haram terlibat untuk membaiki semula struktur tanah bagi mengelakkan sebarang hakisan cerun di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, arahan itu merangkumi pembinaan saliran longkang dan penanaman semula pokok bagi mengelakkan daripada berlakunya hakisan cerun.

“Bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan terkawal, pihak MB Inc juga telah menempatkan anggota Polis Bantuan bagi memantau keadaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Arahan itu adalah susulan penemuan aktiviti penerokaan tanah milik MB Inc dan kerajaan negeri berhampiran Bukit Kledang, seperti yang dilaporkan pihak media pada Khamis.

Terdahulu, media melaporkan, hampir 10 hektar tanah di kawasan lereng bukit berkenaan telah diteroka secara haram.

Bagaimanapun, pihak Jabatan Perhutanan Negeri telah mengesahkan tanah milik kerajaan negeri yang terjejas tidak terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong.