KUALA LUMPUR: Bagi menarik minat pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mahupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menguasai Bahasa Melayu (BM), proses pengajaran dan pembelajarannya perlu dibuat secara santai, penuh kasih sayang dan menyeronokkan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata, kementerian juga tidak akan memaksa pelajar mempelajari BM kerana ia menyebabkan timbul ketidakikhlasan hingga menyebabkan rasa bosan.

“Penghayatan terhadap bahasa perlu dilakukan dengan menjiwai, kasih sayang dan saling hormat-menghormati.

“Bukan hanya sekadar diukur dengan peperiksaan saja, yang penting bagi saya keseronokan waktu belajar.

“Sebab itu saya tekankan di SJKC dan mana-masa sekolah perlu dijadikan proses pembelajaran BM yang menyeronokkan dan bukan membebankan hingga akhirnya menarik pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Peringkat Kebangsaan di HGH Convention Centre, SJKC Jalan Sentul, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching; Pengerusi Jawatankuasa Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC, Datuk Eddie Heng dan Pengerusi Jawatankuasa Forum Peningkatan Standard Bahasa Melayu SJKC, Prof Madya Dr Abdul Rasid Jamian.

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau yakin peningkatan tahap penguasaan BM dapat dilaksanakan melalui kolaborasi membabitkan sekolah kerajaan termasuk SJKC dengan sekolah swasta dan agama lain.

Katanya, apa yang penting pengajaran BM tidak dijadikan isu politik kerana matlamatnya untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Saya yakin program membabitkan pertukaran murid, permainan bersama, pertukaran guru akan membuka horizon dan meruntuhkan tembok prejudis dan kita akan membina jambatan perpaduan antara guru, murid.

“Misalnya, SJKC terkenal dengan kehebatan dalam permainan bola keranjang, di sekolah kebangsaan pula dalam bola sepak. Perlu ada pertukaran supaya kita saling berkolaborasi.

“Sekecil manapun dilakukan oleh sekolah, tapi kalau dilakukan di peringkat kebangsaan, menjadi sebahagian kebudayaan dan teras perubahan,” katanya.

Pada masa sama beliau turut mencadangkan SJKC lebih kreatif dalam pengajaran BM dengan menayangkan filem Tan Sri P. Ramlee dan Upin & Ipin bagi menarik minat pelajar mempelajarinya.

“Filem seperti itu berkonsep santai dan menghiburkan serta terselit pengajaran tersendiri. Bahasa yang digunakan adalah standard dan muda difahami pelajar bukan Melayu,” katanya.

Forum julung kali dianjurkan itu disertai guru termasuk guru besar dari seluruh negara – berita harian