IPOH: Seramai 35 ahli Majlis Pengakap Osaka, Jepun dibawa melawat kilang bahan pematerian milik Nihon Superior Sdn Bhd di Ipoh.

Pengurus Jaminan Kualiti Nihon Superior, M. Thambirajah berkata, lawatan berkenaan bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai latar belakang dan operasi kilang yang berasal dari Jepun itu.
“Kita mengajak mereka ke kilang untuk memberi pendedahan bagaimana kilang milik Jepun beroperasi di Malaysia dan bagaimana pekerja yang berasal dari sana hidup di sini.

“Dalam masa sama, kita sebagai antara pengeluar bahan pematerian terbesar di dunia juga mahu mereka tahu apa yang kita buat dan sumbangan kita kepada industri elektronik,” katanya pada pemberita pada Selasa.

Lawatan itu juga turut disertai oleh 40 ahli Majlis Pengakap Perak (MPP) sebagai pengiring.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak Voon Yeow Hong memberitahu, lawatan itu merupakan antara inisiatif MPP untuk mempromosikan Perak kepada delegasi tersebut.

“Mereka akan berada di Perak selama 10 hari dan pelbagai aktiviti telah kita jalankan bersama dan melawat tempat-tempat menarik di dalam Perak ini.

“Kilang ini hanya merupakan salah satu daripadanya dan kita akan membawa mereka melawat banyak lagi tempat supaya bila mereka balik ke Jepun nanti mereka akan kongsi pengalaman dengan rakan-rakan,” ujarnya.