IPOH 13 Mei – Dikritik teruk ibarat sudah keluar daripada agama semata-mata kerana tidak menjawab panggilan telefon merupakan pengalaman paling pahit yang dilalui Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sepanjang setahun sebagai Menteri Besar.

Menurutnya, lebih menyedihkan kritikan itu dibuat oleh pemimpin akar umbi partinya sendiri, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menurutnya, tindakan itu mungkin disebabkan mereka sudah hilang fokus kerana diuji setelah Allah berikan sedikit ganjaran daripada perjuangan mereka dengan kejayaan menubuhkan kerajaan.

“Kenangan pahit sepanjang setahun ini ialah apabila saya melihat rakan-rakan seperjuangan saya yang lari daripada landasan perjuangan asal.

“Ada pemimpin akar umbi PPBM sendiri yang mengeluarkan kenyataan mengkritik, kalau saya tak jawab telefon pun macam saya dah keluar daripada agama. Itu kenangan paling pahit.

“Saya lihat ada dalam kalangan rakan-rakan apabila kita telah berjaya menubuhkan kerajaan, fokus telah lari sedikit. Bila ada yang buat macam itu saya rasa cukup sedih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas bersama wartawan negeri Perak sempena setahun kerajaan PH Perak di sini semalam.

Namun menurut Ahmad Faizal, setahun menjadi Menteri Besar, beliau juga melalui pengalaman manis apabila dapat bekerjasama dengan pemimpin yang amat dikaguminya iaitu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Kata beliau, sebagai Menteri Besar yang tiada pengalaman, apabila beliau menghadap Tuanku dalam acara mingguan untuk menerangkan keputusan kerajaan dan sebagainya, baginda akan sentiasa memberi nasihat.

“Malah baginda sentiasa menasihati saya menjaga kedudukan saya sendiri supaya saya tidak dikecam dan sebagainya.

“Pada saya pengalaman itu tak boleh dibeli. Itu kenangan paling manis dan saya harap perkara itu berterusan,” katanya. – UTUSAN ONLINE