SHAH ALAM: Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berusia 19 bulan pada 2016.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Aizat Abdullah Othman, 25, selepas mendapati pihak pembelaan di akhir kes pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata, di akhir kes pembelaan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, selain ada keraguan dalam keterangan tertuduh.

“Keterangan seorang saksi kanak-kanak adalah jujur walaupun ketika kejadian, saksi berusia lima tahun.

“Saksi menceritakan perbuatan tertuduh, iaitu menumbuk perut si mati, membaling si mati ke dinding dan mengikat si mati menggunakan getah paip.

“Walaupun keterangan ini diberikan saksi berusia lima tahun, keterangan saksi benar dan meyakinkan mahkamah. Perbuatan tertuduh zalim dan terkutuk,” katanya ketika membaca penghakiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hannah Sufiyah Muhammad Adib yang berusia setahun tujuh bulan, di rumah sewa ibu mangsa di Apartmen Teratai, Jalan Putra Perdana, Puchong, pada jam 1.40 tengah hari 31 Mac 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azilah Mat dan R Puspharasi, manakala tertuduh diwakili peguam, Aqeeb Lizalman Nordin Zamery.

Sementara itu, tertuduh yang berusia 22 tahun ketika didakwa melakukan kesalahan berkenaan, kelihatan tenang di kandang tertuduh ketika keputusan dibacakan hakim.

Bagaimanapun, ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam dilihat menitiskan air mata selepas hakim membuat keputusan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan di kepala dengan beberapa kesan dera pada badan, dipercayai akibat dihempas.

Tertuduh kemudian diberkas polis, manakala ibu mangsa pula ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor, ketika membawa jenazah kanak-kanak itu dipercayai untuk dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah – Berita harian