IPOH – Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya dua tahun lalu.

Hakim Datuk Che Ruzima Ghazali, memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh, N Sanderasegaran, 30, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Sanderasegaran dituduh membunuh S Durga Devi yang ketika kejadian berusia 17 tahun di rumah No 4, Kampung Batu Besi, Ladang Sengat, Simpang Pulai, Ipoh antara jam 11 malam 27 Februari 2016 hingga 6 pagi 28 Februari tahun sama.

Lelaki terbabit didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Che Ruzima dalam penghakimannya berkata, tertuduh sengaja mereka-reka cerita dengan mengatakan dia dan mangsa dirompak sekumpulan lelaki ketika kejadian sehingga menyebabkan kematian berkenaan.

Tambah beliau, ujian makmal yang dilakukan mendapati hanya dua DNA iaitu milik mangsa dan tertuduh dijumpai di badan mangsa serta tiada DNA individu lain, selain barang kemas mangsa masih terdapat pada tubuhnya ketika dibawa untuk proses bedah siasat di hospital.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Irwan Suainbon manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ranjit Singh.

Pada 28 Februari 2016, pihak media melaporkan mayat mangsa ditemui terbaring di ruang tamu sebuah rumah di Ladang Sengat dengan kesan kecederaan pada muka dipercayai akibat ditumbuk.