MUADZAM SHAH – Seorang penganggur dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Felda Selancar 2, di sini, kerana memiliki dadah, sekitar jam 8 malam, Jumaat lalu.

Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin turut merampas 18.43 gram heroin dan 0.74 gram syabu yang bernilai tidak kurang RM700.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd Noor berkata, ketika serbuan polis membuat pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan lelaki berkenaan dan tiada menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik di rumah itu telah menjumpai satu beg berzip warna biru gelap.

“Hasil pemeriksaan dalam beg itu dapati ada satu paket plastik lut sinar berisi ketulan dan serbuk keputihan disyaki dadah berbahaya dan satu paket plastik lut sinar berisi ketulan serta serbuk kristal disyaki dadah berbahaya.

“Suspek telah ditahan dan kesemua barang kes dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya sambil memberitahu hasil ujian air kencing suspek positif dadah dan siasatan awal mendapati ada beberapa rekod jenayah berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
-SinarHarian