KUANTAN: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, awal bulan ini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca terhadap Hasnan Wahab, 35, di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.

Tertuduh dari Taman Sungai Karang, di sini, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian M Shuhairi A Wahab, 35, di sebuah rumah di Lorong Pandan Indah 1/3, Perumahan Pandan Indah, di sini, antara jam 12.30 tengah hari hingga 5.50 petang 2 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Nor Azizah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember depan untuk penyerahan laporan forensik dan bedah siasat, selain tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Abdul Roni.

Mengikut fakta polis, M Shuhairi ditemui di bilik tidur utama rumahnya dalam keadaan terbaring di atas tilam selepas berlaku kebakaran di bilik itu.

Siasatan menemui beberapa kesan kecederaan di kepala dan muka mangsa, selain kesan terbakar di bahagian badan.

Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang menahan dua suspek, termasuk rakan serumah mangsa berusia 34 tahun beberapa jam selepas kejadian – berita harian