TELUK INTAN – Seorang lelaki disyaki penagih dadah ditahan kerana memiliki dadah seberat 16.79 gram di dalam satu serbuan di sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit Kampung Sungai Jejawi, Teluk Intan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek yang berusia 38 tahun yang berasal dari Kampung Sungai Jejawi, itu ditahan pada pukul 8.30 pagi ketika sedang berada di dalam pondok tersebut.

Jelasnya, pemeriksaan di dalam sebuah beg pinggang berzip yang dipakai di pinggang suspek telah menjumpai tiga peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin seberat 16.79 gram.

“Polis telah merampas ketiga-tiga peket dadah yang ada bersama suspek dan ujian saringan air kencing terhadap lelaki yang tidak bekerja itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua kes lampau bersabit kes curi dan dadah,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati danSeksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.