PARIT – Tindakan seorang penganggur berusia 47 tahun memandu dalam keadaan mencurigakan terjawab selepas pihak polis menemui kira-kira 90 kilogram dipercayai daun ketum di but belakang kereta yang dipandunya itu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki yang menetap di Taman Seri Bayang, Ipoh itu ditahan pasukan rondaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Ketika anggota sedang melakukan rondaan di kawasan Jalan Dato’ Paduka Raja, Kampung Gajah, mereka terlihat sebuah kereta jenis Toyota SEG berwarna silver dalam keadaan mencurigakan dan menahan kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan fizikal tubuh badan suspek tidak menemui apa-apa barang salah, bagaimanapun, pemeriksaan anggota di but belakang kereta tersebut berjaya menemui 13 plastik berwarna hitam berisi helaian daun hijau disyaki daun ketum,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, lelaki tersebut kemudiannya ditahan anggota polis dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk tindakan lanjut bersama barang rampasan dipercayai daun ketum.

“Semakan rekod lampau tidak menemui sebarang kesalahan lalu, manakala ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek negatif sebarang dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya – sinar