Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Mayat seorang penganggur dengan kesan tetakan ditemui di Kilometer 6, Jalan Jelapang-Lumut berhampiran stesen minyak Petronas Taman Kledang Emas pada pagi Selasa.

Dalam kejadian sekitar 11 pagi itu, S Ganasan, 30, yang berasal dari Buntong, di sini, dipercayai dibunuh dan ditemui dalam keadaan terlentangĀ  di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis menerima laporan pada pukul 10.29 pagi mengenai penemuan mayat oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dengan kesan tetakan di kepala, kedua-dua belah kaki dan tangan mangsa.

“Mangsa ditemui dalam jarak lima meter daripada jalan besar namun tiada senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan dua kes dadah.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah pendarahan berlebihan akibat luka-luka tetakan di leher.

“Berikutan itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 23 tahun dari Ipoh bagi membantu siasatan,” katanya.

Chang Keong berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan akan disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.