JOHOR BAHRU: Seorang penganggur berusia 50 tahun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan membakar rumah ahli keluarga serta jirannya di Kampung Melayu Pandan pada 25 November lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini, hari ini.

Tertuduh, Ramlan Madon, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan terhadap tiga rumah iaitu milik Suhaili Abu Bakar, 37, Samakyah Johari, 53, serta Suzana Abu Bakar, 51.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Surau, Kampung Melayu Pandan di sini pada jam 9 malam, 25 November lalu.

Ramdan yang hadir ke mahkamah dengan berseluar pendek dan memakai baju tanpa lengan didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes.

Ramlan yang berkelakuan aneh termasuk kelihatan khayal termasuk bercakap kepada dirinya sendiri tidak dibenar untuk diikat jamin sebaliknya tertuduh diarahkan supaya menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai.

Dalam kejadian pada 25 November, sembilan individu membabitkan tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah.

Kejadian berkenaan mengakibatkan ketiga-tiga keluarga berkenaan turut kerugian ribuan ringgit – berita harian