IPOH – Seorang penganggur yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan bersama empat anggota polis melibatkan wang tunai RM12,300 di sebuah rumah di Kampung Rapat di sini 27 Disember lalu ditahan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, lelaki berusia 29 tahun dan tidak bekerja itu ditangkap di sebuah rumah di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai dekat sini kira-kira pada pukul 1 pagi.

“Suspek ditahan oleh sepasukan anggota dari cawangan Risikan Jenayah (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

“Semakan terhadapnya mendapati lelaki itu dikehendaki bagi kes mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kosmo! pada 29 Disember lalu melaporkan, seorang pegawai dan dua anggota polis ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun berkumpulan di sebuah rumah di Kampung Rapat di sini 27 Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka dan seorang lagi penganggur bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh tahanan reman terhadap mereka tamat pada 2 Januari lalu.

Kelmarin, seorang lagi anggota polis berusia 32 tahun ditahan setelah hadir menyerah diri di IPD Ipoh pada pukul 11 pagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan tanpa senjata. – K! ONLINE