KUALA LUMPUR: Penganjur ‘Oktoberfest’ diwajibkan mempamerkan notis amaran ‘Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan’ pada semua label produk arak yang dipromosikan kepada pengunjung.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ia susulan pindaan pada Peraturan 361, Peraturan-peraturan Makanan 1985 terhadap piawaian am bagi minuman beralkohol.

“Selaras dengan pindaan peraturan 361 ini, penganjur ‘Octoberfest’ wajib mempamerkan notis amaran itu.

“Saya akan bertemu dengan penganjur Octoberfest untuk mengingatkan kepada mereka mematuhi peraturan baharu ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, kegagalan mematuhi Peraturan 361 dan 386A boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun.

Beliau berkata, pindaan peraturan berkaitan arak di bawah Peraturan Makanan 1985 diwartakan pada 27 Mei 2016, selaras dengan Strategi Global Mengurangkan Kerosakan Pengambilan Alkohol ditandatangani menteri kesihatan sedunia pada Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-63 pada tahun 2010.

Pindaan itu bertujuan mengawal keselamatan dan kualiti produk alkohol serta memberi maklumat tepat kandungan arak kepada pengguna.

Beliau berkata, pindaan ke atas Peraturan 361 turut menaikkan had umur penjualan minuman beralkohol kepada mereka berumur kurang 21 tahun berbanding 18 tahun sebelum ini.

“Notis amaran itu perlu dipamerkan pada setiap produk arak dan di kabinet jualan arak serta dijual secara berasingan dengan makanan lain.

“Pindaan Peraturan 386A pula menetapkan piawaian baharu Sebatian Minuman Keras (CHL) dengan etil alkohol ditambah berasal daripada pertanian atau sulingan berasal dari pertanian.

“Piawaian baharu ini juga menetapkan produk CHL hanya dibenarkan dijual dalam botol kaca dengan isipadu minimum 700 mililiter (ml). Ini bagi mengawal pelajar sekolah membeli dan menyimpan dalam poket dan dibawa ke sekolah,” katanya – berita harian