KUANTAN: Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Pahang, Kementerian Kerja Raya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menerima rasuah RM42,000 pada 2013.

Shaiful Azman Taha, 39, dari Pelindung Maju, di sini, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, Shaiful Azman didakwa menerima suapan itu daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise, Hamdan Mat Hassan, sebagai dorongan mengeluarkan Sijil Kontraktor Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Pelindung Maju antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 21 Disember 2013.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fauzi Razali.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Shaiful Azman menerusi peguamnya memohon mahkamah meringankan jaminan atas alasan perlu menanggung isteri, dua anak serta ibunya.

Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen -berita harian