IPOH : Empat individu termasuk Pengarah Imigresen Perak yang direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah di negeri ini telah dibebaskan pada Isnin.

Majistret, Suhaima Mohd Noor membenarkan pengarah berusia 57 tahun itu bersama dua ahli perniagaan masing-masing berusia 30 tahun dan seorang mekanik berusia 26 tahun dibebaskan tanpa sebarang syarat selepas reman mereka tamat hari ini (Isnin).

Pembebasan kesemua suspek itu juga dibuat selepas permohonan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi lanjutan reman ditolak oleh mahkamah.

Kesemua mereka sebelum ini ditahan reman lima hari bermula 23 Februari lalu bagi membantu siasatan rasuah melibatkan pusat hiburan dan rumah urut di Perak.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan.

Kesemua suspek telah diwakili peguam Ranjit Singh dan Dexter Mah manakala Timbalan Pendakwa Raya SPRM ialah Nurul Wahida Jalaluddin.

0cb5dbc7-135f-4974-a574-b2f9b39578b4