KANGAR: Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis ditahan reman empat hari bermula hari ini, untuk membantu siasatan selepas disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Turut ditahan reman bersama pengarah itu adalah seorang pemilik syarikat, juga selama empat hari.

Perintah tahanan reman hingga 30 Mac dikeluarkan Hakim Mahkamah Seksyen, Rusita Md Lazim.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap penjawat awam berusia 44 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pemilik syarikat berusia 39 tahun mengikut Sekyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Pengarah JPV terbabit yang memakai kemeja putih, tiba jam 10.30 pagi bersama pemilik syarikat yang memakai kemeja-T merah dengan diiringi pegawai SPRM.

NSTP semalam melaporkan SPRM menahan Pengarah JPV Negeri Perlis kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek yang juga seorang doktor didapati meluluskan lesen ‘Perladangan Unggas dan Aktiviti Lain’ atas nama dua syarikat yang dikatakan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

‎Menurut sumber, pengarah terbabit menerima suapan iaitu dengan menduduki rumah milik pemilik syarikat itu tanpa membayar sewa sejak November 2016 hingga November 2017, yang dianggarkan bernilai RM9,600.

‎Kedua-dua suspek ditahan di SPRM Perlis ketika dipanggil bagi membantu siasatan kira-kira jam 1 tengah hari semalam – berita harian