KUALA LUMPUR: Pengarah muzik ternama tanah air, Faizal Uzir atau lebih terkenal dengan panggilan Lok-U dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10 pagi Rabu.

Allahyarham Lok-U yang berusia 47 tahun difahamkan sesak nafas di kediamannya di Puncak Jalil, di sini sebaik pulang dari berjogging.

Jenazah Allahyarham Lok-U kini berada di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat sebelum dibawa pulang semula ke kediamannya bagi memberi peluang kepada keluarga dan rakan-rakan memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham Lok-U meninggalkan isteri, Jamariah Yusof serta empat orang anak Adam Danial, Faris Danial, Ahmad Firhan Danial dan Yasmin Damia.

Sehingga pukul 11.45 pagi tadi, berita pemergian mengejut Allahyarham Lok-U mula dikongsi oleh penggiat muzik tanah air.

Lok-U merupakan antara pemuzik yang disegani dalam kalangan penggiat muzik tanah air dan Allahyarham sering diberi tanggungjawab mengetuai kumpulan pemuzik iringan dalam pelbagai program realiti di pelbagai stesen televisyen.