PUTRAJAYA: Seorang pengarah syarikat direman lima hari bagi membantu siasatan berkaitan projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak membabitkan kos RM1.25 bilion.

Perintah reman bermula hari ini hingga Selasa dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya jam 7.45 malam tadi selepas hadir untuk memberi keterangan.

Suspek adalah individu ketiga ditahan reman setakat ini bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kelmarin, dua suspek termasuk seorang pengarah syarikat ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes sama.

Kementerian Pendidikan memulakan siasatan dalaman berhubung projek membekal panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak yang diberikan kepada syarikat berpangkalan di Bintulu, yang didakwa melanggar prosedur – berita harian