TAIPING – Seorang pengarah agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Taiping hari ini atas lima pertuduhan menipu urusan pakej haji, dua tahun lalu.

Pada masa sama, syarikat milik tertuduh, Mast Travel Sdn Bhd turut menghadapi lima pertuduhan sama.

Tertuduh, Razali Abdul Rahman, 62, tidak mengaku bersalah selepas lima pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hairul Jemain.

Tertuduh yang turut mewakili syarikat sebagai pengarah urusan juga tidak mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan berasingan dibacakan terhadap syarikat.

Mengikut pertuduhan, pada 16 Ogos 2018, tertuduh dan Syarikat Mast Travel Sdn Bhd telah gagal selepas 14 hari dari tarikh serahan award pada 1 Ogos 2018 untuk mematuhi Award Tribunal Pengguna Malaysia bertarikh 8 Februari 2018 di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Taiping.

Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia itu memerintahkan penentang hendaklah membayar balik RM5,000 kepada pihak menuntut dalam masa 14 hari dari tarikh award diserahkan.

Pada masa kesalahan dilakukan, tertuduh merupakan pengarah syarikat dan boleh dihukum di bawah Seksyen 117(1) Akta Pelindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan dibaca bersama bersama Seksyen 143 Akta sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, pada 18 Disember 2017, seramai lima mangsa membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia cawangan Taiping susulan kegagalan Syarikat Mast Travel Sdn Bhd membawa mereka mengerjakan haji pada tahun 2014 meskipun sudah membuat pembayaran penuh RM5,000 pada 19 Januari 2013.

Syarikat tersebut turut gagal menunaikan janji memulangkan semula wang milik kesemua mangsa sehingga kini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Taiping, Mohamed Nizam Mohamed Yunan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 6 Mac – sinar harian