Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Pengasas skim pelaburan JJ Poor To Rich Johnson Lee dan dua rakan subahat yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung skim pelaburan tukaran asing itu dibebaskan dengan jaminan polis setelah reman mereka berakhir, hari ini (Selasa).

Pihak polis yang dihubungi mengesahkan ketiga-tiga mereka dibebaskan dan reman mereka tidak akan disambung.

Sebelum ini, pihak polis telah mendapat perintah reman dua hari terhadap tiga individu berusia 28 sehingga 29 tahun itu daripada Mahkamah Majistret Taiping bermula semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Superintendan Lee Ewe Kiang berkata, sebelum ini kesemua lelaki itu ditahan untuk membantu siasatan polis berikutan satu laporan di Kamunting.

Laporan polis tersebut dibuat oleh seorang pelabur skim itu yang mendakwa ditipu membabitkan kerugian bernilai RM4,700.

Pada 16 Mei lepas, Lee diberkas bersama dua rakannya dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya dan polis merampas sebuah kereta Honda Accord lima unit telefon bimbit, pelbagai dokument berkaitan skim pelaburan, buku cek, 11 keping kad debit dan kredit pelbagai bank dan wang tunai RM20,936.

Empat hari sebelumnya, polis, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara dan Cyber Security menyerbu lapan pejabat JJPTR di Pulau Pinang.

Polis turut memulakan langkah membekukan akaun skim pelaburan JJPTR.

JJPTR mula menjadi perhatian media sejak April lalu selepas Lee mendakwa dana skim pelaburan miliknya dipindahkan “penggodam” dan mengakibatkan kerugian lebih AS$50 juta (RM217 juta).

Bagaimanapun, ada dakwaan yang mengatakan skim pelaburan berasaskan tukaran mata wang asing itu dipercayai mengaut keuntungan RM1.7 bilion hasil wang yang dilaburkan mangsa.

Skim pelaburan JJPTR ditubuhkan pada 2015 dengan menjanjikan pulangan 20% sebulan. Sebuah lagi skim baharu diumumkan awal bulan ini yang menjanjikan pulangan setinggi 35% sebulan.