PENGASAS Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood menerima Anugerah Khas Tokoh Srikandi pada Malam Semarak Perjuangan sempena Anugerah Tokoh Srikandi Negara 2018, anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), di Kuala Lumpur, semalam.

Anugerah itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi kategori kemasyarakatan, bersesuaian dengan portfolio Dr Jemilah sebagai penggiat misi kemanusiaan dan penggerak organisasi kemanusiaan yang paling berjaya.

Dr Jemilah berkata, beliau terharu dengan pengiktirafan itu dan menganggap perjuangan Mercy Malaysia dapat membuka mata masyarakat mengenai bantuan kemanusiaan.

“Pengiktirafan ini mungkin kerana semasa saya menubuhkan Mercy Malaysia pada 1999, negara belum lagi terkenal dalam bidang bantuan kemanusiaan, jadi sejak itu ramai berkecimpung dalam bidang bantuan kemanusiaan dan banyak pertubuhan seumpamanya ditubuhkan.

Anak kelahiran Seremban itu pernah mengetuai delegasi Mercy Malaysia untuk memberi bantuan kemanusiaan bukan hanya dalam bentuk makanan, pakaian tetapi juga khidmat perubatan, malah mendirikan klinik dan sekolah.

Selain Dr Jemilah, 11 lagi tokoh turut diberikan pengiktirafan sama, mengikut bidang masing-masing.

Mereka ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Asma Ismail (Pendidikan); Perunding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Robaayah Zambahari (Perubatan); Pengarah Akademi Sains Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman (Sains); Pengarah Pusat Perubatan Prince Court, Pusat Lasik Mata Prof. Dr. Muhaya Mohammad (Dakwah dan Islamiah) dan pengkaji seni budaya warisan Melayu, Prof Siti Zainon Ismail (Kesenian).

Turut menerima anugerah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner (Pentadbiran Awam); Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran (Korporat); Ketua Pegawai Warga Kerja Kumpulan CIMB Bbank, Datuk Hamidah Naziadin (Kewangan); Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank Malaysia, Norzilah Mohammed (Perbankan); Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia (MIA), Dr Nurmazilah Mahzan (Profesional) dan ikon boling negara, Shalin Zulkifli (Sukan) – hmetro