AMPANG: Seorang pengasas syarikat perusahaan internet didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mengeluarkan instrumen pembayaran wang elektronik yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Teow Wooi Huat, 52, iaitu pengasas syarikat MBI Marketing Sdn Bhd dan Mface International Sdn Bhd mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakam terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang bertanggungjawab bagi pengurusan hal ehwal MBI Marketing dan anak syarikatnya, Mface International, mengeluarkan suatu instrumen pembayaran yang ditetapkan tanpa kelulusan iaitu wang elektronik yang diperuntukkan dibawah Seksyen 24(1) Akta Sistem Pembayaran 2003.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis Ampang Avenue di sini antara 3 Jun 2012 hingga 17 Mac 2018.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Sistem Pembayaran 2003 dibaca bersama jadual, nombor siri 15, akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada BNM R Hardeep Kaur mencadangkan jaminan RM150,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam bela M Mahendra memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat pasport diserahkan pada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, pengeluaran instrumen pembayaran yang ditetapkan di bawah akta ini (Sistem Pembayaran 2003) memerlukan kelulusan daripada BNM dan pengendali sistem itu dikehendaki mengemukakan dokumen kepada BNM sebelum dibenarkan memulakan operasi selepas menerima pemberitahuan bertulis.

Sebelum ini, pada tahun 2011 tertuduh pernah dipenjara sehari dan denda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu 93 pelabur berkaitan pelaburan program Island Red Cafe – berita harian