IPOH: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Seksyen Ipoh pada Rabu atas tuduhan mendera seorang bayi di Sitiawan, bulan lalu.

Berdasarkan kertas pendakwaan, Nor Aini Man, 48, didakwa mengabaikan seorang bayi perempuan berumur 11 bulan di bawah asuhannya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada bahagian belakang kepala mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Samudera Sitiawan pada 26 Nov lalu antara pukul 9 pagi hingga 6.30 petang.

Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim S.Indra Nehru yang kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Nor Aini didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, suri rumah sepenuh masa itu memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin ke atasnya kerana dia mempunyai tanggunggan, manakala suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM900 sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam tetapi menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah menetapkan 21 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes