IPOH: Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menganiaya bayi di bawah jagaannya di Seri Manjung, tahun lalu.

Tertuduh, Nur Amirah Dayana Md Darus, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Nur Amirah Dayana sebagai pengasuh kepada bayi perempuan berusia enam bulan empat hari, didakwa menganiaya kanak-kanak itu di Pusat Snuker 1st Champion, tingkat bawah Fasa 1C Seri Manjung, Manjung, kira-kira jam 2 petang, 23 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1) a Akta Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh.

Azman membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh manakala kes itu disebut semula 17 Mei ini.

Terdahulu, Mohamad Nazreen mencadangkan jaminan RM10,000 manakala Mahinderjit memohon mahkamah mengurangkan jaminan itu pada kadar lebih ringan.