BUTTERWORTH: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencederakan bayi dengan mencubit dadanya minggu lalu.

Mas Haini Mohd Zaini, 33, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bayi lelaki berusia 10 bulan, Mohd Ayden di ruang tamu sebuah rumah di Taman Sri Serdang, Kepala Batas dekat sini pada jam 9.30 pagi 20 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Aziah Hasan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Nor Aziah meminta mahkamah menetapkan jaminan RM6,000.

Mas Haini, bertudung biru dan berbaju hitam, memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai dua anak dan hanya suaminya yang bekerja tetap.

Che Rohana menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan 28 September untuk sebutan semula.

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan seorang pengasuh berusia 33 tahun yang berang kerana bayi diasuhnya tidak berhenti menangis mencubitnya hingga lebam di perut dan dada di rumahnya di Taman Sri Serdang Isnin lalu.

Kejadian itu disaksikan anak lelakinya yang berusia empat tahun.

Ibu mangsa membuat laporan polis selepas doktor yang membuat pemeriksaan mendapati ada kesa penderaan terhadap bayi terbabit – berita harian