IPOH – Seorang pengasuh hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap bayi lelaki tiga bulan sehingga mangsa patah tangan kanan.

Tertuduh, Ros Azlina Mohd Ismail, 46, telah didakwa bertindak secara cuai melakukan kesalahan itu di rumahnya di Seri Iskandar, Perak Tengah kira-kira jam 11.30 pagi pada 8 Ogos lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Julie Lack Abdullah dan minta dibacarakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa yang berusia tiga bulan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan menanggung sembilan anaknya selepas Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman menawarkan jaminan RM20,000.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.