PELABUHAN KLANG: Pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukan terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata sebaliknya 17 anggota berkenaan adalah daripada pasukan polis tambahan.

“Itu anggota polis tambahan, bukan anggota polis kita (PDRM),” katanya ketika ditemui pemberita di Boustead Cruise Centre, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamad Fuzi mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meninjau kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di jeti Boustead Cruise Centre.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 17 pengawal keselamatan di JPM direman lima hari bermula 8 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana PRU-14 bernilai RM3.5 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Siti Nabilah Abd Rashid di Mahkamah Majistret, Putrajaya, selepas membenarkan permohonan SPRM.

Mereka ditahan meliputi seorang pegawai keselamatan Gred KP52 berusia 51 tahun dan 16 pengawal keselamatan Gred KP11 hingga KP38 berusia antara 31 hingga 51 tahun yang bertugas di Kompleks B, JPM.

Susulan itu, wang tunai berjumlah hampir RM1 juta bersama 16 kenderaan dan pelbagai barangan kemas, disita SPRM.

Aset serta wang tunai itu dipercayai hasil penyalahgunaan wang peruntukan PRU-14 yang disyaki diambil suspek dari pejabat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – berita harian