IPOH: Seorang pengawal keselamatan maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang sedalam 1.2 meter di tapak pembinaan Gunung Lang di sini pada petang Ahad.

C. Mohan, 53, dipercayai telah maut tiga jam sebelum mayatnya ditemui oleh rakan sekerjanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Abdul Rani Alias berkata, kenderaan mangsa ditemui dalam jarak 20-25 meter daripada lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang ditemui pada kenderaan mangsa.

“Ketika pihak polis sampai di lokasi kejadian, kami menemui kesan cap jari mangsa di dinding berdekatan lubang di mana mangsa terjatuh.

“Siasatan awal mendapati mangsa jatuh dengan mukanya terhempas dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada petang Ahad.

Abdul Rani berkata, mangsa dipercayai cuba memanjat lubang tersebut untuk menyelamatkan diri namun gagal dan jatuh semula ke dalam lubang tersebut.

“Ketika dijumpai oleh rakan sekerjanya, terdapat kesan calar di sekitar badan mangsa dan juga darah dari hidungnya.

“Mayat akan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun ( HRPB) bagi tujuan bedah siasat dan setakat ini kes akan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujar beliau.