IPOH – Seorang pengawal keselamatan yang menghadapi tuduhan membunuh rakan sekerjanya pada hujung bulan lepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata api tanpa kebenaran di Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini hari ini. Tertuduh, Mohd Halin Jabar, 52, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Kampung Paloh Telok Bakong Lambor Kanan, Parit, didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 31 Ogos lalu kira-kira jam 7.55 malam di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd Lot 120 Taman Farmaseutikal Seri Iskandar dan telah didapati memiliki sepucuk pistol jenis semi auto nombor siri 83451 tanpa kebenaran yang sah dari mana-mana pihak dan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan sebatan rotan tidak kurang daripada enam sebatan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md. Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan mahkamah menetapkan 19 Sept untuk menjatuhkan hukuman. Pada sebelah petang, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Parit, kerana membunuh rakan sekerjanya hujung bulan lepas.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan bunuh sehingga menyebabkan kematian terhadap Masri Pandak,37.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd di Taman Farmaseutikal dekat Seri Iskandar kira-kira pukul 7.55 malam pada 31 Ogos lalu. Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 31 Oktober depan sementara menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa dan sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai dan berasal dari Tronoh maut ditembak rakan sekerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar. Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal berkenaan.

Motif kejadian itu dipercayai berpunca akibat perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa tentang isu perbezaan gaji. Mohd Halin beranggapan mangsa cuba masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya selain menyebarkan cerita-cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain.