KLANG: Seorang pengawal keselamatan sekolah rendah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap polis menerusi akaun Facebook (FB) miliknya, 10 Mac lalu.

Tertuduh, Shahrul Nizam Maskor, 39, yang bertugas di Sabak Bernam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik komen jelik terhadap polis menerusi akaun FB miliknya iaitu Tok Uban dengan niat menyakiti orang lain membabitkan polis dan pemimpin negara.

Perbuatan itu dilakukan di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang 4, Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam, 10 Mac lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut peruntukan sama, dia juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Peguam tertuduh, M Saravanan memohon pengurangan kos ikat jamin berikutan anak guamnya yang berpendapatan RM1,500 sebulan menanggung isteri dan empat anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Ab Latiff.

Hakim Emelia Kaswati kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 April depan untuk sebutan semula kes.

Semalam, Shahrul Nizam turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sabak Bernam atas pertuduhan membuat laporan palsu polis dengan menyatakan akaun FB miliknya digodam pada 11 Mac lalu – berita harian