IPOH: Jabatan Pendidikan Negeri akan menyemak dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai syarat pengecualian cukai kepada individu yang menderma kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata sekiranya penderma dikecualikan daripada membayar cukai, ia akan mengalak lebih ramai individu menyumbang kepada tabung PIBG memandangkan jumlah kutipan dermanya masih sedikit.

“Setakat ini yang saya tahu individu yang menderma kepada perpustakaan sekolah bagi meningkatkan prasarana kemudahan itu boleh dikecualikan daripada membayar cukai.

“Bagi yang menderma kepada tabung PIBG pula, kita akan semak dengan LHDN.

SebenarnyaLHDN menyediakan pengecualian cukai kepada pihak yang memberi sumbangan kepada sekolah dan universiti yang mana penderma boleh memohon (pengecualian cukai) kerana ia tidak melanggar akta pendidikan yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi wawancara Konvensyen PIBG peringkat negeri Perak penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) 2017 sempena Festival of Ideas,di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.

Mengenai program hari ini, Muhammad Amin berkata konvensyen bertemakan ‘Penggerak Kecemerlangan Sekolah dan Modal Insan’ menghimpunkan kira-kira 700 pengetua, guru besar, anggota PIBG di seluruh negeri itu.

“Konvensyen ini adalah platform kepada mereka untuk meluahkan pandangan atau bertanyakan soalan berkaitan peranan PIBG dalam membantu pihak sekolah meningkatkan kemajuan pendidikan,” katanya.

Sesi wawancara itu dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut berkesempatan beramah mesra dan berkongsi pandangan dengan mereka yang hadir.