BAGAN DATUK – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan selepas didapati memiliki 19 paket heroin lebih daripada 1 kilogram di rumahnya di Taman Bernam, Hutan Melintang.

Lelaki warga tempatan itu ditahan dalam satu serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak pada 3 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, serbuan dilakukan pada jam 2 petang.

Katanya, lelaki yang ditahan itu berusia awal 30-an adalah warganegara tempatan dan tinggal berseorangan di rumah tersebut.

“Dalam serbuan itu, kita telah merampas 19 paket plastik lutsinar disyaki berisi dadah heroin, anggaran berat 1,704.79 gram dan 11 plastik lutsinar disyaki berisi dadah methamphetamine, anggaran berat 100.51 gram. Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM61,000.

“Suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah beberapa bulan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, tiada sebarang pergelutan dan mangsa ketika itu berseorangan sedang berehat.

Mohd Marzukhi berkata, suspek juga mempunyai satu rekod lampau kes jenayah serta ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Suspek telah direman sehingga 9 Julai dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh dikenakan Hukuman Mati Mandatori,” katanya.