KUALA LUMPUR: Seorang penagih dadah yang dipercayai turut aktif mengedar dadah di sekitar kawasan Desa Pandan di sini, ditahan bersama sejumlah dadah, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 52 tahun itu ditahan menerusi Ops Tapis oleh sepasukan anggota polis di kawasan setinggan berhampiran Kampung Pandan India di sini, kira-kira jam 12.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata hasil pemeriksaan ke atasnya, polis merampas satu beg kecil didapati mengandungi 27 tiub straw dan lima paket plastik berisi serbuk serta ketulan dipercayai dadah jenis heroin.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif. – Foto Hafiz Sohaimi
“Semua dadah dirampas dianggarkan seberat 18.48 gram dengan nilai pasaran RM520.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif heroin. Suspek turut mengaku sudah terbabit dengan penagihan dadah selama 20 tahun,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual buah itu dan masih bujang mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1984.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama – berita harian