TELUK INTAN – Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan dalam satu serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Changkat Jong, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata, dalam serbuan jam 2 petang itu, turut dirampas heroin seberat 60.47 gram.

“Kita juga merampas alat penimbang serta paket plastik dipercayai untuk tujuan pembungkusan dadah bagi diedarkan kepada penagih.

“Suspek yang berusia 57 tahun itu ada rekod lampau dadah dan aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, semalam.

Menurut Mohd Marzukhi suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kini direman sehingga 20 Mei.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Chenderong Balai dipercayai dijadikan lokasi memproses air ketum untuk dijual di daerah berhampiran Selasa lalu.

Menurut Mohd Marzukhi, ketika ditahan lelaki berkenaan sedang leka memproses air ketum untuk dijual mengikut bungkusan plastik serta botol di mana daun ketum berkenaan diperoleh dari kawasan sekitar.

“Hasil serbuan itu, polis merampas 43 liter air ketum dan dua plastik hitam berisi daun ketum seberat 32.5 kilogram serta alat memproses seperti periuk dan dapur.

“Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau dan kes disiasat dibawah Seksyen 9 Akta Racun 1952,” katanya – sinar