TINDAKAN lelaki, 44, yang juga pengedar dadah terjun dari tingkap untuk meloloskan diri selepas menyedari rumahnya dikepung gagal apabila dia ditahan dalam serbuan, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Durian Bador, Kuala Berang pada 12.15 tengah malam selepas menerima maklumat awam.

Menurutnya, ketika serbuan suspek berada di dalam rumah, namun bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

“Lelaki itu bertindak terjun melalui tingkap rumah, namun ‘hajat’ suspek ingin meloloskan diri tidak berhasil apabila rumah berkenaan sudah dikepung.

“Berlaku pergelutan ketika anggota polis cuba menahan suspek yang mahu melarikan diri, selain lelaki itu turut dilihat mencampak beg yang dipegang di tangan kiri ke tanah,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas beg itu menemui satu bungkusan surat khabar yang terdapat enam botol plastik lutsinar bertudung kuning dengan setiap botol berisi serbuk putih disyaki dadah.

Katanya, turut ditemui satu straw lutsinar berjalur putih dan kuning di dalamnya berisi 50 biji pil berwarna merah disyaki dadah dan dompet berwarna hitam selain wang tunai RM91.

Katanya, suspek mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – hmetro