KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan berkata pengeluar produk makanan tidak dibenarkan mendakwa sesuatu produk makanan sebagai ‘sihat’ melainkan selepas disahkan pihak berkuasa berkaitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata larangan untuk pengeluar makanan termasuk roti atau roti canai umpamanya mendakwa produk mereka sebagai ‘sihat’ adalah sejajar dengan Peraturan 18(3), Peraturan-peraturan Makanan 1985.

“Sesuatu produk makanan tidak boleh menjadi lebih menyihatkan walaupun ditambah beberapa bahan lain jika saiz sajian adalah sama.

“Bagaimanapun, bahan tambahan itu akan bermanfaat bagi pengguna tertentu yang mahu meningkatkan pengambilan serat umpamanya,” katanya.

Beliau mengulas mengenai beberapa produk sejuk beku di pasaran termasuk roti canai yang dikatakan paling menyihatkan dan rendah kalori berbanding hidangan biasa selepas ditambah kacang bendi, dhal, barli dan halba.

Pengubahsuaian kepada bahan asas pengeluaran produk itu dikatakan menyebabkannya bersifat rendah indeks glisemik (GI) sekali gus menjadikannya lebih baik untuk kesihatan.

Sekeping roti canai biasa dikatakan mengandungi hingga 301 kalori, malah kandungan GI melebihi 70 iaitu paras sajian tidak sihat. Bagaimanapun kalori dalam roti canai dengan pengubahsuaian kandungan itu dikatakan turun hingga 280 kalori dan mencapai bacaan GI rendah, antara 45 hingga 50.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, kaedah memasak atau menyediakan hidangan itu juga memainkan peranan dalam menentukan jumlah kalori diambil pengguna.

Sementara itu, Bahagian Pemakanan KKM dalam kenyataan menerusi Facebook berkata, dakwaan sesetengah pengeluar makanan bahawa produk mereka menyihatkan adalah antara strategi pemasaran – berita malaysia