IPOH: Majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan Perak akan diadakan pada 26 Januari ini di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis akan bermula pukul 8 malam dan disusuli dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air.

Selain itu, kata beliau, terdapat beberapa aktiviti sampingan akan dilangsungkan sejak pagi antaranya Zumba, ‘Street soccer’, perlumbaan drone, jualan makanan menerusi ‘foodtruck’ dan jualan istimewa oleh al-Ikhsan Sports.

“Saya menjemput semua penyokong memenuhi perkarangan stadium sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan rakyat Perak untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar musim depan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di pejabatnya pada Rabu.

Ahmad Faizal berkata, Pafa amat komited untuk membuat persiapan yang terbaik bagi meneruskan momentum kejayaan pasukan The Bos Gaurus.

Selain daripada Piala Malaysia, pasukan Perak juga akan beraksi dalam play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengumumkan pelantikan
Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian, Tajul Hasnan Omar sebagai Setiausaha Kehormat Pafa yang baharu, berkuatkuasa serta merta.

Katanya, Pafa yakin pelantikan itu mampu membantu melancarkan lagi pengurusan persatuan di samping membolehkan Setiausaha Kehormat sebelum ini, Abd Aziz Yeop Jamaluddin untuk memberi tumpuan penuh kepada tugas sebagai Naib Presiden II.

Menurutnya, Tajul Hasnan memiliki pengalaman yang cukup luas dalam pengurusan bola sepak dan telah menjadi Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian sejak 1980.

“Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Melayu Perak pernah mengetuai beberapa biro dalam Pafa, antaranya biro pertandingan, pengadilan, latihan dan tatatertib sejak mula memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Pafa hampir 10 tahun lalu,” ujarnya.