PUTRAJAYA: Tiga Pengerusi baharu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini menerima watikah pelantikan mereka dan akan memulakan tugas secara rasmi bermula 1 November ini.

Mereka adalah Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ishak Ismail; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Mazlan Aliman dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil.

Watiqah disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Pada sidang medianya, Salahuddin berkata, tiga lagi Pengerusi agensi di bawah kementeriannya akan diumumkan dalam masa terdekat iaitu bagi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), yang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) yang dijangka diumumkan minggu depan.

Katanya, nama Pengerusi baharu yang dilantik hari ini dicadangkan oleh kementeriannya dan diluluskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka akan menjalankan tugas berkuat kuasa 1 November ini hingga 31 Oktober 2020.

“Saya harap mereka dapat menunaikan tanggungjawab dengan baik kerana tiga agensi ini memainkan peranan penting terutama memastikan golongan petani dan nelayan kita dapat menikmati kehidupan lebih baik, serta mencapai objektif agensi masing-masing,” katanya.

Ditanya sama ada lantikan Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) dan Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH), Salahuddin berkata, dasar PH jelas menyatakan ia hanya membabitkan lantikan ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, lantikan politik boleh dilakukan ke dalam agensi kerajaan namun ia perlu berdasarkan merit dan pengalaman profesional individu berkenaan – berita harian