KUALA LUMPUR : Seorang ahli lembaga pengarah UDA Holdings Berhad (UDA) disahkan dijangkiti coronavirus (COVID-19) dan dikuarantin di hospital kerajaan.

UDA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini berkata, individu terbabit menghadiri satu majlis bersama bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan timbalannya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, baru-baru ini.

Agensi terbabit menasihatkan agar orang ramai yang menghadiri majlis sama untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik atau pusat kesihatan terdekat sekiranya mengalami sebarang simptom, termasuk demam.

Setakat ini, Malaysia mencatatkan 29 kes positif COVID-19, dengan mangsa terbaharu membabitkan lelaki berusia 52 tahun, yang memiliki sejarah perjalanan ke Shanghai, China pada pertengahan Januari lalu.